Tuesday, June 16, 2009

komputer

Komputer Masa Hadapan

Sejak akhir-akhir ini, banyak syarikat komputer berlumba-lumba untuk mengeluarkan komputer serta kenyataan berkaitan dengan masa hadapan dunia pengkomputeran dalam nada yang optimistik dan positif. Para saintis dan juga pakar-pakar komputer telah menyenaraikan beberapa aspek pengkomputeran yang bakal muncul nanti. Malah inisiatif untuk menghasilkan teknologi komputer terbaru telah dijalankan sejak empat atau lima tahun sebelum memasuki abad ke 21 ini oleh beberapa syarikat komputer gergasi.

Namun begitu segalanya bergantung kepada kehendak dan keupayaan pengguna untuk menyerap segala teknologi baru ini dan digunakan dengan baik. Untuk merealisasikan impian untuk mengujudkan teknologi komputer terbaik maka mereka telah menyenaraikan 10 ciri-ciri teknologi komputer termaju sebagai panduan umum. Walaupun ada di antaranya boleh dianggap agak terkehadapan tetapi ia tidak mustahil untuk dicapai dan dicipta oleh manusia.

Komputer akan mempunyai sifat kemanusiaan
Komputer dikatakan akan mempuyai sifat-sifat kemanusiaan dengan memahami arahan suara, kepenggunaan kehadiran maya (virtual presence) dan mengenal kelakuan atau emosi.

Peranti berfikiran sendiri
Peranti-peranti seperti telefon, jam tangan, ketuhar gelombang mikro, TV dan peti sejuk akan menjadi lebih bijak. Penggunaan pemproses seperti StrongARM, DragonBall dan pSOS akan dipermajukan untuk tujuan ini. Peranti-peranti ini juga dirangkaikan kepada rangkaian luar bagi menyediakan sebuah rangkaian bersepadu dan membolehkan para pengguna mendapatkan perkhidmatan tambahan.

Rangkaian akan menjadi lebih pintar
Sistem rangkaian yanag akan diwujudkan mempunyai ciri-ciri seperti lebih pantas, sistem rangkaian rumah yang lebih pintar, penggunaa teknologi IPV4, talian digital dan intra sambungan dengan pelbagai peralatan telekomunikasi. Malah rangkaian anda menjadi sistem neural kepada sesebuah bangunan atau jentera bagi memeriksa keupayaan atau sebarang kerosakan kepadanya dan memberikan maklumbalas kepada komputer utama.

Web menjadi bertambah bijak
Web akan memperkenalkan teknologi portal peribadi, penggunaan XML untuk menggantikan HTML dan penggunaan percarian menerusi imej atau QBIC (Query By Image Content). Perisian-perisian untuk menghasilkan kandungan Web juga menjadi bertambah mudah dan lebih mampu menghasilkan animasi atau interaktif yang menarik.

ibm netvista berbentuk futuristik

Perisian pintar
Perisian-perisian akan menggunakan arahan suara, penggunaan bahasa semulajadi, menggunakan teknologi Neural Net. Perisian sistem pengoperasian rangkaian juga akan menjadi lebih pintar seperti Bayesian Networks yang mampu berfungsi secara sendiri. Sistem pengoperasian dan perisian rangkaian juga menjadi lebih proaktif dalam membaiki dirinya sendiri serta bijak mengimbangi beban kerja rangkaian.

Ekonomi Internet akan berkembang
Ekonomi Internet akan berkembang dengan pesat dan laman Web e-dagang akan menjadi satu agenda utama pada alaf baru. Dengan seramai 180 juta pengguna Internet seluruh, jumlah yang bakal dibelanjakan dalam Internet adalah sebanyak AS$41 bilion menjelang 2003.

Komputer generasi baru
Komputer akan menggunakan paparan Super XGA (1,280-by-1,024) untuk penghasilan monitor. Manakala paparan Roentgen iaitu sebuah paparan 16.3-inci dengan resolusi 2,560 x 2,048 dan paparan yang luas serta besar. Penggunaan LCD juga semakin maju dan mampu mencapai paparan XGA dengan luas paparan sehingga 29 inci.

kedua-dua pc ini nampak indah dan canggih

Identiti Peribadi Digital
Maklumat diri akan menjadi lebih terbuka dan bebas. Akhirnya segala maklumat diri yang peribadi boleh dicapai dnegan mudah. Manakala maklumat dan transaksi dalam e-dagang pula akan dipertingkatkan dan ini akan membuatkan para pelanggan berasa selamat. Penggunaan kad pintar akan digabungkan bersama dengan kad kredit atau kad pengenalan peribadi untuk memudahkan integrasi maklumat boleh digunakan di seluruh dunia.

Ramalan pemproses
Menjelang tahun 2011, mikroproses akan menggunakan satu bilion transistor dan beroperasi pada kelajuan 10GHz serta menggunakan proses teknologi semikonduktor 0.07-mikron yang mampu melakukan kiraan 100 bilion operasi sesaat. Senibina pemproses PC juga akan ditingkatkan daripada 32 bit kepada 64 bit bagi meningkatkan tahap pemprosesan untuk PC.

Hiburan maya
Lebih banyak watak digital realistik dapat dihasilkan. Teknologi 3D dan aliran SIMD Extensions (SSE) akan dipermajukan. Ruangan Chat akan muncul dalam bentuk 3D chat dan dalam pembikinan permainan pula DirectX 8.0 akan dihasilkan. Latarbelakang studio atau pentas juga akan menggunakan paparan maya bagi memberikan paparan yang menarik.


Friday, June 5, 2009

Sejarah Komputer

1.1 Pengenalan

Komputer adalah sebuah mesin pemprosesan data berelektronik yang menerima dan menyimpan data, melakukan operasi aritmetik (pengiraan) dan logik (membuat keputusan) ke atas data dan kemudian mengeluarkan keputusan (maklumat). Komputer memproses data secara automatik (tanpa pertolongan manusia) di bawah arahan program yang tersimpan dalam unit storan utama. Program (aturcara) mengandungi jujukan arahan-arahan yang mengarahkan komputer mengatasi sesuatu masalah dengan menggunakan unit-unit yang ada padanya.

Komputer memainkan peranan yang penting dalam kerjaya dan cara hidup seseorang. Organisasi, tak kira besar atau kecil, mengguna komputer untuk menolong mereka beroperasi dengan lebih berkesan. Ramai individu mengguna komputer di rumah untuk tujuan pendidikan, hiburan dan perniagaan. Komputer mempunyai kesan yang meluas ke atas setiap individu tanpa disedarinya. Pembelian barangan di pasaraya, penggunaan juruwang berautomat (Automatic Teller Machine) atau membuat panggilan telefon jauh kesemuanya memerlukan komputer. Kebolehan mengguna komputer untuk berkomunikasi dengan komputer lain mengubah cara seseorang bekerja dan hidup.

1.3 Apakah Dia Komputer?

Komputer adalah satu peranti elektronik yang dapat menerima data input, memproses data secara aritmetik dan logik, mengeluarkan hasil output, dan menyimpan hasil untuk kegunaan masa depan. Kesemua aktiviti ini dilakukan di bawah kawalan suruhan (instructions) yang disimpan di dalam unit ingatannya (memory unit). Kebanyakan komputer juga berkeupayaan untuk berkomunikasi dengan menghantar dan menerima data kepada komputer lain dan ke Internet. Pembelajaran dan penggunaan tentang komputer dan alat telekomunikasi untuk mencapai, memproses, mengurus, menyimpan, menghantar dan mengguna maklumat dipanggil teknologi maklumat.

1.6 Sejarah Dan Perkembangan Komputer

Sejarah perkembangan komputer boleh dibahagikan kepada dua zaman , iaitu :

a) sebelum tahun 1940

b) selepas tahun 1940

Sebelum tahun 1940

Manusia menggunakan jari untuk mengenali dan membilang nombor satu hingga sepuluh. Selepas itu mereka mula mengenali nombor-nombor yang lebih besar tetapi masih menggunakan digit-digit asas dari 0 hingga 9. Ini mewujudkan sistem nombor perpuluhan. Jari-jari digunakan untuk campur dan tolak nombor. Campur tolak nombor-nombor membantu mereka mengira dalam perniagaan barter. Apabila perniagaan semakin berkembang, jari-jari tidak dapat menampung keperluan pengiraan yang bertambah rumit.

Ahli-ahli perniagaan dari negeri China, Turki dan Yunani menggunakan abakus (sempua) untuk melakukan pengiraan asas campur, tolak dan darab bermula beribu tahun lepas. Abakus mengandungi batu-batu yang dipasang pada beberapa bar. Semua pengiraan dilakukan dengan mengubah kedudukan batu-batu itu.

Pada tahun 1617, John Napier mengemukakan sifir logaritma dan alat dipanggil tulang Napier (Napier's bones). Di samping pengiraan asas campur, tolak, darab dan bahagi, alat ini juga boleh mencari punca kuasa nombor. Tulang Napier diperbuat daripada tulang, kayu, logam dan kad. Pengiraan dilakukan dengan menyilang nombor-nombor pada segiempat dengan tangan.

Blaise Pascal mencipta mesin kira mekanikal pertama pada tahun 1642. Mesin ini beroperasi dengan menggerakkan gear pada roda. Pascal juga telah banyak menyumbang idea dalam bidang matematik dan ilmu kebarangkalian. Mesin kira Pascal telah dimajukan oleh William Leibnitz.

Pada tahun 1816, Charles Babbage membina 'the difference engine'. Mesin ini boleh menyelesaikan masalah pengiraan sifir matematik seperti logaritma secara mekanikal dengan tepat sehingga dua puluh digit. Mengikut draf yang dicadangkannya, mesin ini menggunakan kad tebuk sebagai input, boleh menyimpan kerja-kerja sebagai ingatan, melakukan pengiraan secara otomatik dan seterusnya mengeluarkan output dalam bentuk cetakan pada kertas.

Konsep mesin ini memeranjatkan ahli-ahli sains pada masa itu kerana dianggap terlalu maju. Projek pembinaan ini walau bagaimanapun terbengkalai kerana ketiadaan sokongan teknikal yang dianggap terlalu maju pada masa tersebut. Babbage kemudian menumpukan perhatiannya kepada 'the analytical engine'. Kekurangan teknologi pada masa tersebut juga menyebabkan projek ini ditangguhkan. Walaupun gagal menyiapkan kedua-dua mesin, idea Babbage didapati amat berguna kepada pembentukan komputer moden pada hari ini. Semua komputer pada hari ini menggunakan model
mesin seperti yang dicadangkan oleh Babbage, iaitu input, ingatan, pemprosesan dan output.

Kad tebuk pertama kali digunakan sebagai alat input dalam industri tekstil pada mesin penenunan otomatik ciptaan Joseph Jecquard pada tahun 1801. Mesin ini membaca data dengan mengenalisa kod-kod lubang pada kertas. Konsep lubang dan tiada lubang ini menandakan permulaan penggunaan nombor binari dalam pemprosesan data.

Herman Hollerith mempopularkan penggunaan kad tebuk sebagai alat input data. Mesinnya yang menggunakan kad tebuk berjaya memproses data untuk membanci penduduk Amerika Syarikat pada tahun 1887. Penggunaan kad tebuk kemudiannya diperluaskan kepada bidang-bidang seperti insuran, analisa jualan dan sistem akuan kereta.

Howard Aiken memperkenalkan penggunaan mesin elektromakenikal dipanggil Mark I pada tahun 1937. Satu bahagian mesin ini adalah elektronik dan sebahagian lagi mekanikal. Bentuknya besar dan berat serta mengandungi talian wayer yang panjang. Semua operasi di dalam komputer dijalankan oleh geganti elektromagnetik. Mark I boleh menyelesaikan masalah fungsi-fungsi trigonometri di samping pengiraan asas. Sungguhpun demikian ia masih dianggap lembab dan terhad oleh kerana jumlah storan ingatan yang sedikit.